Monday, 26 October 2015

Bimbing Diri Dengan 'WAZE' Allah

Pernahkah tak korang guna Waze? Apa 'function' Waze? Boleh dikatakan Waze ini ibarat peta digital yang menunjukkan jalan kepada kita agar sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan disajikan suara perempuan inggeris yang terkadang cakap pelat melayu atau dalam bahasa inggeris untuk beritahu arah tuju kita, bezanya dekat atau jauh sahaja.

Tetapi.........

Waze yang ingin disampaikan di sini bukanlah seperti Waze digital yang kita gambarkan sebentar tadi malah lebih hebat daripada Waze itu. Waze hanyalah istilah yang digunakan untuk mengambil fungsinya sebagai sandaran kepada Al-Qur'an yang fungsinya juga sebagai petunjuk. Kalau Waze yang kita guna untuk bimbing agar tidak sesat dari tempat tuju kita, tetapi Al-Qur'an sebagai Waze untuk bimbing kita agar tidak sesat dalam perjalanan hidup kita. Itulah Waze ciptaan Allah, iaitu Al-Qur'an. Ia diturunkan oleh Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Rasulullah secara berturut-turut. Surah Al-Alaq ayat 1-5 merupakan ayat pertama yang telah membawa satu revolusi besar terhadap tamadun pada ketika itu dengan lafaz 'IQRA'. Tamadun ketika itu yang hidup dalam kejahilan dan kesesatan maka hadirnya telah mengubah lanskap hidup masyarakat islam ketika itu yang akhirnya dapat membezakan antara perkara yang haq dan batil. Seperti dalam firmanNya Surah Al-Baqarah Ayat 185 :



Terjemahan : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. 


Al-Qur'an obor penyuluh manusia yang masih lagi diselebungi kegelapan. Membawa manusia ke jalan yang lurus dan lebih terang benderang. Membimbing manusia lebih mengenal Rabb Azza Wajalla. Ia menjadi ensiklopedia menerangkan kepada manusia tujuannya diciptakan dan apa peranan manusia itu sendiri di muka bumi Allah yang luas ini. Hebatnya Al-Qur'an tiada timbang taranya dibandingkan buku-buku buatan manusia. Kerana ini adalah kalam Tuhan Yang Maha Mengetahui, sudah pasti ia menjadi diari kehidupan di dunia sehingga ke hari kiamat dimana manusia dibangkitkan semula,



Hendak digambarkan kehebatan Al-Qur'an ini sehingga mampu melunturkan hati Umar yang sewaktu jahiliyyah dahulu, beliaulah manusia yang paling keras dan bengis, pemarah, paling digeruni, paling kuat menentang islam dan Rasulullah, namun hanya mendengar ayat dari Surah Taha, beliau menangis teresak-esak dan terus memeluk islam. Subhanallah, Allah telah memberi hidayah padanya. Hadirnya Umar, islam semakin kuat dan bermulalah dakwah secara jihar (terang-terangan). Begitu besar impaknya, tulah Al-Qur'an, kalam Allah S.W.T. apabila didengar mampu menundukkan hati yang sombong dan mampu menenangkan fikiran yang resah. Alangkah hebatnya mukjizat Al-Qur'an sehingga bahan bacaannya melangkaui zaman. Hatta pada hari ini, Al-Qur'an masih relevan digunakan.


Al kisah, seorang bapa bersama anaknya di atas Komuter menghala ke satu destinasi, Anaknya itu berlari-lari didalam tren, buat bising, dan ganggu orang ramai disitu. Namun, bapanya tidak berbuat apa-apa. Disana ada seorang lelaki yang asyik memerhati setiap tindak tanduk bapa dan anaknya itu. Pelbagai tanggapan buruk bermain dalam benak fikiran lelaki tersebut terhadap bapanya kerana hanya berdiam diri tanpa pedulikan anak kecil tersebut. Sebelum anaknya itu mengganggu lebih ramai lagi, lelaki itu bingkas bangun dan menghampiri bapa tersebut. Lalu menegur sikap bapanya yang tidak pedulikan anaknya sendiri. Alangkah menyesal dan terkejutnya lelaki tersebut apabila mendapat tahu yang bapanya itu baru sahaja kehilangan isteri dalam beberapa jam yang lalu. Saat itu, lelaki yang pada awalnya beranggapan negatif terus bertukar kepada perasaan kasihan, hiba dan simpati apabila mendapat tahu cerita sebenar. Begitulah dianalogikan Al-Qur'an, pada asalnya manusia menilai sesuatu perkara itu dengan tanggapan yang sangat menyimpang dari kebenaran, lalu Al-Qur'an memberi pencerahan demi membimbing manusia ke jalan mardhatillah. Kisah ini sangat bertepatan dengan ayat Al-Qur'an daripada surah Al-Baqarah ayat 185.

Jadikanlah AL-Qur'an sebagai teman dikala kesunyian. Jadikanlah Al-Qur'an sebagai guru dikala kesesatan. Jadikanlah Al-Qur'an sebagai bapa dikala kebingungan. Dan menjadi ibu sebagai tempat untuk merintih dan mengadu. Moga Allah mengangkat kita sebagai sohibul Qur'an di akhirat kelak. Serta Al-Qur'an menjadi penyelamat diakhirat kelak. Wallahu taala A'lam.




No comments:

Post a Comment