Sudut Pandang

ISU DZN : HAK KEBEBASAN INTELEKTUAL GENERASI MUDA

Oleh : Nur Arif bin Md. Radzuan, Timbalan Yang Dipertua Ikatan Pelajar Islam Pahang.

Pengharaman ke atas Dr. Zakir Naik untuk berpencak atas pentas dakwah Malaysia ini perlu diteliti semula kerana isu ini telah mencabuli hak kebebasan intelektual dalam kalangan masyarakat khususnya para mahasiswa dan pelajar. Dalam hal ini, masyarakat perlu bersikap berlapang dada dan lebih matang dalam meraikan kepelbagaian pendapat tanpa perlu menghalang mana-mana individu untuk berkarya dalam konteks keilmuan demi pembangunan generasi muda yang sedang meniti proses kematangan dan keterbukaan.

Hakikatnya, budaya menghalang kebebasan diskusi intelektual ini akan menyumbang kepada generasi muda yang lesu dan lemah berfikir secara kritis terhadap kepelbagaian ilmu yang menjadi satu nikmat daripada Allah S.W.T ke atas hamba-hamba-Nya seperti yang dinyatakan dalam al-Qur’an surah al-Kahfi ayat 109:

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
Terjemahan :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".

Implikasi daripada hal ini akan melahirkan belia yang jemu terhadap pembudayaan ilmu namun ketagih terhadap hiburan yang melampau kerana sikap mengutamakan program berbentuk hiburan berbanding program berbentuk keilmuan seperti yang terjadi sejak akhir-akhir ini.


Belia hari ini adalah penentu kepimpinan negara di masa akan datang. Wacana-wacana ilmu seperti ini adalah wasilah didikan untuk belia-belia pada hari ini. Oleh itu, kami mewakili Ikatan Pelajar Islam Pahang yang merupakan Badan Gabungan Negeri Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengharapkan program syarahan Dr. Zakir Naik yang merupakan penerima Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M Peringkat Antarabangsa ini wajar diteruskan di Universiti Teknikal Melaka (UTEM) demi pembangunan generasi muda agar terus kekal terampil dan berkemajuan dalam konteks keilmuan khususnya dalam hal-hal keagamaan.

No comments:

Post a Comment