Tuesday, 26 April 2016

Kembara Spiritual Siri 1 : Tazkiyatun Nafs di Hulu Langat


Program “Kembara Spiritual : Tazkiyatun Nafs di Hulu Langat” ini adalah ibrah daripada surah al-Mulk ayat 15 :

“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; 
dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.”

Buat julung kalinya, program yang berintisarikan elemen tasawwuf disamping mentadabbur alam ini diadakan sebagai platform refleksi diri sambil menghayati dan mengenal Maha Pencipta yang mencipta alam dengan serba keunikan dan diluar batas kemampuan makhluknya. Untuk menyelami lebih dalam program ini, saya akan ekspresikan memori suka duka dan integrasi antara alam dan akal ini di dalam sebuah tinta sebagai perkongsian bersama demi keluhuran jiwa rohani.

KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL| BAB 1 :

Tanpa memikirkan keletihan bekerja, saya dan abang Hafizullah mengaturkan perjalanan untuk merealisasikan kembara yang sudah dirancang seminggu sebelumnya. Walaupun hanya berdua, kami bertekad untuk teruskan juga program ini sebagai wadah membentuk jati diri yang semakin alpa dan demi memenuhi kehendak hati yang menuntun dirinya untuk diisi. Meskipun akan ada yang mempertikaikan, “kenapa sampai nak pergi jauh-jauh semata-mata nak betulkan diri? masjidkan ada? rumahkan ada? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih jer tu.” Yup, betul! betul! kami tak menidakkan ‘statement’ itu ada betulnya, cuma,,,kami ambil keputusan ini semata-mata untuk keluar daripada zon selesa kami, zon ‘tilam’ dan ‘bantal’, zon ‘wifi laju’, zon ‘kemudahan serba serbi’. Selain, kami hendak keluar daripada hiruk pikuk kesibukan bandar yang akan mengganggu fokus kami.

Alhamdulilah,,, dengan izin Allah, kami berjaya memulakan ekspedisi ini dengan jayanya. Semuanya tidak akan berlaku tanpa kemudahan dan bantuan daripada Allah S.W.T.

Jam menunjukkan pukul 2.30 petang, perjalanan kami bermula dengan pengembaraan ke Sg. Congkak, Hulu Langat, sebuah sungai yang tersergam indah yang dikelililngi oleh kehijauan hutan yang sangat menenangkan jiwa. Sudah cukup mengaburi mata kami daripada memikirkan keserabutan dunia yang sentiasa berlegar di ruang fikiran kami. Tiada rasa selain rasa keterujaan meronta-ronta untuk menyingkap lebih dalam akan keindahannya dan merasai kejernihan airnya. SubhanAllah, hebatnya ciptaan Kau, walaupun satu ketika dahulu aku pernah hadir kesini tetapi tidak terlintas rasa jemu untuk mentadabbur alam ciptaan Mu ini, Ya Rabbi. Pengalaman ini tidak akan ceria kalau tidak diserikan dengan telatah lucu dari abg usrahku yang tidak lekang dengan idea-idea lucunya. Buat aku tidak sunyi dari hilai tawa sepanjang masa. Disamping kami bermandi manda di sungai, sempat juga kami berbual tentang permasalahan fiqh mengenai air sungai yang satu ketika dahulu digunakan atuk-atuk dan nenek-nenek kita sebagai tempat membasuh baju. Kami terfikir, bersih ke baju tu? tak rasa ke air sungai tu bercampur dengan bahan-bahan kotoran yang kita tidak tahu. Apa yang kami mampu simpulkan, kesucian air sungai itu mungkin disebabkan ianya mengalir. Mungkin sebab itu air sungai dikategorikan sebagai air mutlak. Bercakap pasal air yang mengalir, terlintas dalam hati aku waktu tu satu analogi mantap daripada al-Imam Syafie (767M- 820M) antara air yang mengalir dengan mengembara di  dalam syairnya ;   

“…Berkelanalah (mengembaralah), engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan.

Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan,

Sungguh aku melihat air yang tergenang (bertakung) dalam diamnya, justeru akan tercemar lalu membusuk.

Jika sahaja air tersebut itu mengalir, tentu, tentu ia akan terasa lazat dan menyegarkan. Tidak akan sedemikian, jika ia tidak bergerak mengalir….”

Imam Syafie menggambarkan kepada kita bahawa dengan mengembara mampu menjernihkan pemikiran kita, membuka sarwa pandang kita terhadap pelbagai aspek sama ada aspek sosial, budaya, politik, ekonomi dan agama. Hebat kalam al Imam.

Namun, perjalananku dan Abg Hafiz tergendala dek hujan yang turun lebat dalam lingkungan jam 5.30 petang lebih. Kami gunakan ruang waktu yang ada sebagai ruang mengisi jiwa dengan al-Mathurat (kumpulan doa ma’thur daripada Rasulullah yang dikumpulkan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna). Inilah sumber kekuatan individu yang bergelar petugas harakiy. Suasana hujan yang sejuk ini, memujuk si perut untuk memainkan lagu keroncong, lalu kami bergegas ke gerai berhampiran sambil memesan kopi tarik. Disini, perbualan kami lebih kepada perbualan bersifat peribadi, membuat ukhwah yang dijalinkan atas ikatan aqidah itu kian rapat dari masa ke masa. InshaAllah, semoga kembara ini dapat menuntun kami memaknai maksud ayat al-Quran dari surah al Mukminun yang berbunyi : Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara….

KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL | BAB 2 :

Tepat jam 7.30 malam, kami tiba di Masjid Sultan Hisyamuddin Hulu Langat, kami berniat iktikaf disini untuk satu malam. Selepas maghrib, hikmah daripada kami menghadiri masjid ini, Allah menghantar hambanya untuk menegur kami tentang aqidah yang semakin menjadi topik kebelakang dalam perbualan kami. Apa yang diperkatakan oleh penceramah cukup menjentik hati kami yang langsung leka daripada memikirkan batu asas penting bagi insan yang mengaku dirinya sebagai muslim, iaitu aqidah. Antara intipati yang dikupas di dalam ceramah ini, dinukilkan oleh penceramah kata-kata daripada Syed Qutb melalui bukunya Ma’alim fi at-Thoriq ; “punca kerosakan dikalangan masyarakat adalah disebabkan oleh kerosakan aqidah.” Turut dinukilkan kalam daripada as-Syahid Imam Hassan al-Banna; “Ibadah hati itu lebih banyak daripada ibadah fizikal.” Dalam konteks gerakan dakwah, seorang petugas harakiy itu perlu meletak aqidah sebagai elemen terpenting dalam dirinya, meletakkan sesuatu perkara yang dilakukan tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Baru seorang petugas harakiy itu akan kekal kompeten dalam gerak kerjanya. Semoga ceramah ini dapat mengisi jiwa kami yang kurang terisi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat.InshaAllah. Seusai kami menikmati bubur yang disediakan untuk makmum-makmum yang hadir ke masjid selepas Isyak berjemaah, kami meluangkan masa berdua untuk metadabbur 5 ayat pilihan al-Qur’an iaitu surah al-Kahfi ayat 13, surah al-Muzzammil ayat 1-6, surah at-Taubah ayat 41 dan surah as-Saff ayat 3 serta menghafal ayat dan terjemahannya.

Antara perbincangan yang boleh dikongsikan bersama :

Manifestasi daripada surah al-Muzzammil

1. Surah ini menyarankan kepada sekalian manusia untuk bangun malam bagi menunaikan solat sunat. 

2. Bangun malam adalah sebagai pengisian jiwa yang kosong. 

3. Ruang masa yang sangat kondusif untuk mengingat Allah. 

4. Ibadah bangun malam ini susah tetapi akan menjadi mudah jika kita ada sahabat yang saling mengingatkan.

Manifestasi daripada surah at-Taubah ayat 41 : 
1. Semakin tinggi hierarki, semakin tinggi jihadnya. 

2. Jihad dan taklifan perlu berjalan seiringan. 

3. Dalam konteks sekarang, jihad kita bukan lagi berperang tetapi kita berperang dengan diri kita sendiri dan ghuzwatul fikr (Peperangan Ideologi) untuk membentuk diri.

Manifestasi daripada surah as-Saff ayat 4 :

1. Makna ‘Saff’ disini adalah organisasi yang tersusun atur, diposisikan peranan pada setiap individu dan tidak dinamakan teratur bilamana tiadanya implementasi.

2. Individu vs berjemaah : Sebagai contoh : Mat Lutfi seorang vlogger dakwah yang terkenal, perjuangan dakwahnya betul dan tidak dinafikan keberkesanannya. Namun, cuba kita bayangkan, sekiranya Mat Lutfi ini tadi meninggal dunia, siapa akan meneruskan ideologi dakwahnya? Ini beza bergerak secara berjemaah dan secara individu. Dengan berjemaah, kita dapat wujudkan satu komposisi diantara semua kepakaran yang terdapat dalam diri setiap indvidu Jemaah itu, dimana boleh dapatkan ilmu ini? didalam USRAH.

Selesai sahaja kami mentadabbur ayat-ayat tersebut berdasarkan konteks semasa (waqi’), kami menghafal ayat-ayat tersebut untuk menjadi pegangan bersama. Semoga ayat-ayat ini kekal dalam ingatan kami. InshaAllah.

KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL | BAB 3 :

Alhamdulilah, alhamdulilah, dengan izin Allah, kami dapat bangun ‘Qiamullail’, sesuatu yang paling diimpikan buat insan yang bergelar petugas harakiy. Kami menunaikan solat sunat Tahajjud, Solat sunat taubat, Hajat, dan witir. Semoga amalan ini diterima disisi Allah. Bagi kami, ia satu kejayaan buat diri kami yang mungkin telah mengabaikan solat-solat ini.

Jam menunjukkan 5.00 pagi, kereta kami meluncur laju menuju ke Broga Hill. Tanpa waze, tanpa sebarang panduan, hanya menyerahkan sepenuh kebergantungan kepada ‘signboard’ dijalan. Adakala signboard ini ada, adakala hilang tiba-tiba. Dikelilingi hutan yang gelap, tanpa terdapat sebarang rumah dikiri kanan jalan. Cukup membuatkan kami menyerahkan sepenuh perlindungan kepada yang Maha Melindungi dan terus berharap agar selamat sampai. Kami tak pasti apa yang akan berlaku pada kami dihadapan nanti.

Masa terus berlalu, mata masih terus mencari dan mencari dimana sepatutnya hala tuju kami, yang berlegar di fikiran kami, betul ke jalan kami ni. Akhirnya, jalan yang kami lalu tadi membawa kami betul-betul dihadapan masjid di Semenyih. Tepat waktu yang kami sampai, Jemaah masjid masih lagi mendirikan solat. Kami terus bersolat. Seusai berjemaah subuh, tiada lain dalam fikiran ini, hanya perasaan ‘excited’ hendak mendaki.

Segalanya sudah dipersiapkan, hanya tinggal si jasad untuk memulakan pendakian. Mendaki dan terus mendaki. Ada budak kecil, ada orang dewasa, ada Cina, ada India, ada Melayu. Semuanya mempunyai matlamat dan niat yang sama. Hanya untuk sampai ke PUNCAK! Bukan mudah yang disangka mendaki ini, dengan jalan tidak rata, tanahnya yang licin, berlubang sana, berlubang sini, kiri kanan curam, batu-batu yang menyukarkan lagi dakian. Namun, dengan tekad yang kuat, buat kami terus mara selangkah demi selangkah tanpa peduli kesusahan yang ada. Bila dinilai semula, aku melihat Bukit ini seolah-olah kehidupan, ‘track’ yang kami lalui ini diibaratkan seperti ujian dan cabaran. Dan, puncak adalah cita-cita yang diimpikan. Cita-cita tidak akan tercapai sekiranya kita tidak meletakkan satu bulat tekad atau azam yang kuat. Ada azam, benteng apa pun sanggup diredah untuk dapatkan apa yang diimpikan.

Diatas tulah, kami ‘selfie’, kami bergambar, untuk dijadikan memori terindah buat persahabatan kami. uhuhu….. Dan kami habiskan perjalanan kami ini disini....


Bukan niat untuk bangga, bukan pula untuk mendabik dada, hanya sebagai perkongsian bersama… Jumpa di Kembara Spiritual siri II….. yihaa..!!
     



No comments:

Post a Comment