Monday, 26 October 2015

Bimbing Diri Dengan 'WAZE' Allah

Pernahkah tak korang guna Waze? Apa 'function' Waze? Boleh dikatakan Waze ini ibarat peta digital yang menunjukkan jalan kepada kita agar sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan disajikan suara perempuan inggeris yang terkadang cakap pelat melayu atau dalam bahasa inggeris untuk beritahu arah tuju kita, bezanya dekat atau jauh sahaja.

Tetapi.........

Waze yang ingin disampaikan di sini bukanlah seperti Waze digital yang kita gambarkan sebentar tadi malah lebih hebat daripada Waze itu. Waze hanyalah istilah yang digunakan untuk mengambil fungsinya sebagai sandaran kepada Al-Qur'an yang fungsinya juga sebagai petunjuk. Kalau Waze yang kita guna untuk bimbing agar tidak sesat dari tempat tuju kita, tetapi Al-Qur'an sebagai Waze untuk bimbing kita agar tidak sesat dalam perjalanan hidup kita. Itulah Waze ciptaan Allah, iaitu Al-Qur'an. Ia diturunkan oleh Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Rasulullah secara berturut-turut. Surah Al-Alaq ayat 1-5 merupakan ayat pertama yang telah membawa satu revolusi besar terhadap tamadun pada ketika itu dengan lafaz 'IQRA'. Tamadun ketika itu yang hidup dalam kejahilan dan kesesatan maka hadirnya telah mengubah lanskap hidup masyarakat islam ketika itu yang akhirnya dapat membezakan antara perkara yang haq dan batil. Seperti dalam firmanNya Surah Al-Baqarah Ayat 185 :



Terjemahan : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. 


Al-Qur'an obor penyuluh manusia yang masih lagi diselebungi kegelapan. Membawa manusia ke jalan yang lurus dan lebih terang benderang. Membimbing manusia lebih mengenal Rabb Azza Wajalla. Ia menjadi ensiklopedia menerangkan kepada manusia tujuannya diciptakan dan apa peranan manusia itu sendiri di muka bumi Allah yang luas ini. Hebatnya Al-Qur'an tiada timbang taranya dibandingkan buku-buku buatan manusia. Kerana ini adalah kalam Tuhan Yang Maha Mengetahui, sudah pasti ia menjadi diari kehidupan di dunia sehingga ke hari kiamat dimana manusia dibangkitkan semula,



Hendak digambarkan kehebatan Al-Qur'an ini sehingga mampu melunturkan hati Umar yang sewaktu jahiliyyah dahulu, beliaulah manusia yang paling keras dan bengis, pemarah, paling digeruni, paling kuat menentang islam dan Rasulullah, namun hanya mendengar ayat dari Surah Taha, beliau menangis teresak-esak dan terus memeluk islam. Subhanallah, Allah telah memberi hidayah padanya. Hadirnya Umar, islam semakin kuat dan bermulalah dakwah secara jihar (terang-terangan). Begitu besar impaknya, tulah Al-Qur'an, kalam Allah S.W.T. apabila didengar mampu menundukkan hati yang sombong dan mampu menenangkan fikiran yang resah. Alangkah hebatnya mukjizat Al-Qur'an sehingga bahan bacaannya melangkaui zaman. Hatta pada hari ini, Al-Qur'an masih relevan digunakan.


Al kisah, seorang bapa bersama anaknya di atas Komuter menghala ke satu destinasi, Anaknya itu berlari-lari didalam tren, buat bising, dan ganggu orang ramai disitu. Namun, bapanya tidak berbuat apa-apa. Disana ada seorang lelaki yang asyik memerhati setiap tindak tanduk bapa dan anaknya itu. Pelbagai tanggapan buruk bermain dalam benak fikiran lelaki tersebut terhadap bapanya kerana hanya berdiam diri tanpa pedulikan anak kecil tersebut. Sebelum anaknya itu mengganggu lebih ramai lagi, lelaki itu bingkas bangun dan menghampiri bapa tersebut. Lalu menegur sikap bapanya yang tidak pedulikan anaknya sendiri. Alangkah menyesal dan terkejutnya lelaki tersebut apabila mendapat tahu yang bapanya itu baru sahaja kehilangan isteri dalam beberapa jam yang lalu. Saat itu, lelaki yang pada awalnya beranggapan negatif terus bertukar kepada perasaan kasihan, hiba dan simpati apabila mendapat tahu cerita sebenar. Begitulah dianalogikan Al-Qur'an, pada asalnya manusia menilai sesuatu perkara itu dengan tanggapan yang sangat menyimpang dari kebenaran, lalu Al-Qur'an memberi pencerahan demi membimbing manusia ke jalan mardhatillah. Kisah ini sangat bertepatan dengan ayat Al-Qur'an daripada surah Al-Baqarah ayat 185.

Jadikanlah AL-Qur'an sebagai teman dikala kesunyian. Jadikanlah Al-Qur'an sebagai guru dikala kesesatan. Jadikanlah Al-Qur'an sebagai bapa dikala kebingungan. Dan menjadi ibu sebagai tempat untuk merintih dan mengadu. Moga Allah mengangkat kita sebagai sohibul Qur'an di akhirat kelak. Serta Al-Qur'an menjadi penyelamat diakhirat kelak. Wallahu taala A'lam.




Sunday, 25 October 2015

Rintihan Hati Mengadu

Lumrah manusia apabila ditimpa musibah dan kesusahan baru mula mengingati Allah.  Baru mula membentang sejadah bersujud dan berdoa kepada Allah merayu dan merintih demi urusan duniawi. Tetapi manusia leka dan alpha apabila diberikan kesenangan dan kenikmatan. Pada ketika itu, bibir tidak lagi basah berzikir menyebut nama Tuhan. Kaki tidak lagi melangkah ke masjid demi menunjukkan kesyukuran kepada Tuhan yang memberi kenikmatan. 

Bila hati bersama Allah, tika senang dan ditimpa musibah sentiasa menjadikan Allah sebagai pendamping setia bagi menguatkan diri yang sering lesu ditelan arus dunia. Hamba mukmin yang sejati tidak gugur jatuh apabila diuji Tuhan Yang Esa. Tidak leka apabila kenikmatan mula melimpah diatas riba kerana mereka tahu ini adalah dari Tuhan Yang Esa. Ujian inilah proses menjadi golongan orang yang beriman. Seperti firman Allah :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.” [al-Ankabut: 2-3].

Ujian bukan tanda Allah mengkhianati kita, ujian bukan tanda Allah membenci kita tetapi ujian sebagai tanda Allah mengingati kita untuk mengingati-Nya. Indahnya peringatan Tuhan, tika kita diuji, nama-Nya menjadi yang pertama dibenak fikiran kita kerana kita tahu Dialah tempat kita mengadu dan merintih memohon permintaan dan keampunan agar kita dipermudahkan ujian dari-Nya.

Mukmin sejati harus terus kuat, bukan putus asa menjadi sasarannya tetapi anak panah perubahan kearah lebih baik adalah matlamatnya. Allah menguji untuk mengubah cara hidup kita, untuk mendidik kita menjadi insan yang berguna disamping menjadi hamba yang sentiasa bersama-Nya. Hebatnya ketentuan Allah, hebatnya aturan Allah, segala yang dilakukan bukanlah sia – sia melainkan untuk mengajar kita agar lebih tabah menghadapi ujian-Nya. Sesungguhnya Allah menguji manusia mengikut kepada kesanggupannya dan kemampuannya seperti firman-Nya di dalam surah Al-Baqarah ayat 286 :

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..“

Allah itu Maha Adil, Allah itu Maha Penyayang, mana mungkin Tuhan Yang Maha Suci daripada sifat – sifat mazmumah sanggup menzalimi hamba yang dikasihi-Nya. Yakinlah kepada Allah, Yakinlah dengan Kalam Allah, Yakinlah dengan Utusan Allah. Itu semua adalah tanda kesmpurnaan Allah.

Mutiara Kata Bakal Alim  :                                      
                                                                                        
                                                                                Ujian Ditimpa Buat Hamba,
Sebagai Tanda Allah Menyayangi Kita,
                                                                            Bukan Kerana Benci Dan Hina,                     

                 Hanya Sebagai Peringatan Buat Si Leka.     ~arif93~

Wahai Si Perokok Tegar


Wahai Si Perokok Tegar,
Kalam Yang Keluar Dari Bibir mu Sering Berbau,
Mengganggu Si Teman Berbual Disisimu,
Jika Tidak Dikasihi Dirimu,
Kasihilah Sahabatmu.

Wahai Si Perokok Tegar,
Berkepul-kepul Awan Hitam Dihembusmu,
Menjadi Santapan Hidu Buat Sang Bernama Keluarga,
Tiadakah Rasa Kasih dan Simpati Dihatimu?
Buat Sang Keluarga Yang Membisu lagi Memendam Rasa.

Wahai Si Perokok Tegar,
Paparan Kotak Tidak Membuka Pintu Hatimu,
Walau Ditatap Berkali-kali Tetap Sebatang Diambil Olehmu,
Adakah Keras Amat Hatimu,
Hingga tiada Ruang Menilai Dan Merasa.

Wahai Si Perokok Tegar,
Berbaju logo Sebagai Tanda Siapakah Kamu,
Dek Kerana Kekhilafan mu,
Si Logo Menjadi Mangsanya,
Jangan disalah Ada Yang Mengata,
Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga.


Wahai Si Perokok Tegar,
Sayangilah Dirimu,
Sayangilah isterimu,
Sayangilah keluargamu,
Sayangilah Sahabatmu,
Sayangilah Taklifanmu,
Andai ini Tetap Jalanmu,

Sesal Mendatang, Merintih Pulang.

Ilmu Mutiara Berharga

Ilmu bak mutiara berharga yang berkilau, mahalnya ilmu itu tidak mampu dibeli, susah untuk dimiliki, susah untuk diwarisi tanpa usaha yang hakiki. Itulah ilmu yang tempatnya hanya di hati insan yang sentiasa memikirkan Tuhan.

Credit to Google Image

Kata Buya Hamka :
                          Semakin banyak ilmu semakin lapang hidup,
                               Semakin sedikit ilmu semakin sempit hidup.

Kata – kata Hamka ini juga sudah memberikan dorongan dan perangsang yang kuat bertapa pentingnya ilmu dalam mengatur susun galur perjalanan kehidupan kita. Semakin banyak ilmu semakin kita tunduk patuh kepada Rabb Yang Maha Kuasa. Membuatkan diri kita sentiasa cukup dengan pemberian yang sedia ada didepan mata seperti rezeki, harta, isteri dan anak – anak kita.

Seorang muslim perlulah meletakkan diri mereka sebagai muslim yang mencintai ilmu. Menjadikan buku – buku ilmiah sebagai pendamping dikala sunyi, sebagai teman berbual dikala kosong, ilmulah sebaik – baik tempat untuk mengisi masa lapang. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan orang yang menuntut ilmu diangkat padanya beberapa darjat seperti firmannya di dalam surah Al Mujahadah ayat 11 :

“Diangkat oleh Allah orang yang beriman daripada kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat.”

Kalam Allah ini adalah bukti bahawa orang yang menuntut ilmu ini sangat mulia disisi Allah apatah lagi disisi makhluk – makhluk-Nya. Banyak kelebihan yang diberikan kepada penuntut ilmu jika kita teliti hadith – hadith Rasulullah antaranya orang yang menuntut ilmu diberikan tiket untuk memudahkan mereka masuk ke dalam syurga. Satu tempat yang menjadi idaman dan impian para muslim. Iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abi Darda’, Rasulullah bersabda :

“ Barangsiapa yang mempermudahkan jalan menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalan menuju ke syurga Allah..”
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Ilmu adalah mutiara yang berharga, amat beruntunglah mereka yang memilikinya. Para Nabi tidak mewariskan harta tetapi mewariskan ilmu yang sangat berharga. Galilah sebanyak mana ilmu itu dan sampaikanlah kepada seluruh ummah. Itu lebih bermakna berbanding semua seisi dunia. Ilmu diibaratkan air jernih dan hati ibarat bekasnya, untuk memelihara ilmu, peliharalah bekasnya agar tidak mengotorkan airnya.
Mutiara Kata      :
Tiada Kata Seindah Bahasa,
Tiada Harta Lebih Berharga,
Ilmu Umpama Mutiara,

                 Rebutan Bakal Penghuni Syurga.  ~arif93~


-Penterjemah Ummah-