Program “Kembara Spiritual : Tazkiyatun Nafs di Hulu
Langat” ini adalah ibrah daripada surah al-Mulk ayat 15 :
“Dialah
yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata
ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;
dan kepada
Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.”
Buat julung kalinya, program yang berintisarikan elemen
tasawwuf disamping mentadabbur alam ini diadakan sebagai platform refleksi diri
sambil menghayati dan mengenal Maha Pencipta yang mencipta alam dengan serba
keunikan dan diluar batas kemampuan makhluknya. Untuk menyelami lebih dalam program
ini, saya akan ekspresikan memori suka duka dan integrasi antara alam dan akal
ini di dalam sebuah tinta sebagai perkongsian bersama demi keluhuran jiwa
rohani.
KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL| BAB 1 :
Tanpa memikirkan keletihan bekerja, saya
dan abang Hafizullah mengaturkan perjalanan untuk merealisasikan kembara yang
sudah dirancang seminggu sebelumnya. Walaupun hanya berdua, kami bertekad untuk
teruskan juga program ini sebagai wadah membentuk jati diri yang semakin alpa
dan demi memenuhi kehendak hati yang menuntun dirinya untuk diisi. Meskipun
akan ada yang mempertikaikan, “kenapa sampai nak pergi jauh-jauh semata-mata
nak betulkan diri? masjidkan ada? rumahkan ada? Hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih jer tu.” Yup, betul! betul! kami tak menidakkan ‘statement’ itu
ada betulnya, cuma,,,kami ambil keputusan ini semata-mata untuk keluar daripada
zon selesa kami, zon ‘tilam’ dan ‘bantal’, zon ‘wifi laju’, zon ‘kemudahan
serba serbi’. Selain, kami hendak keluar daripada hiruk pikuk kesibukan bandar
yang akan mengganggu fokus kami.
Alhamdulilah,,, dengan izin Allah, kami
berjaya memulakan ekspedisi ini dengan jayanya. Semuanya tidak akan berlaku
tanpa kemudahan dan bantuan daripada Allah S.W.T.
Jam menunjukkan pukul 2.30 petang, perjalanan
kami bermula dengan pengembaraan ke Sg. Congkak, Hulu Langat, sebuah sungai
yang tersergam indah yang dikelililngi oleh kehijauan hutan yang sangat
menenangkan jiwa. Sudah cukup mengaburi mata kami daripada memikirkan
keserabutan dunia yang sentiasa berlegar di ruang fikiran kami. Tiada rasa
selain rasa keterujaan meronta-ronta untuk menyingkap lebih dalam akan keindahannya
dan merasai kejernihan airnya. SubhanAllah, hebatnya ciptaan Kau, walaupun satu
ketika dahulu aku pernah hadir kesini tetapi tidak terlintas rasa jemu untuk
mentadabbur alam ciptaan Mu ini, Ya Rabbi. Pengalaman ini tidak akan ceria
kalau tidak diserikan dengan telatah lucu dari abg usrahku yang tidak lekang
dengan idea-idea lucunya. Buat aku tidak sunyi dari hilai tawa sepanjang masa.
Disamping kami bermandi manda di sungai, sempat juga kami berbual tentang
permasalahan fiqh mengenai air sungai yang satu ketika dahulu digunakan
atuk-atuk dan nenek-nenek kita sebagai tempat membasuh baju. Kami terfikir,
bersih ke baju tu? tak rasa ke air sungai tu bercampur dengan bahan-bahan
kotoran yang kita tidak tahu. Apa yang kami mampu simpulkan, kesucian air
sungai itu mungkin disebabkan ianya mengalir. Mungkin sebab itu air sungai
dikategorikan sebagai air mutlak. Bercakap pasal air yang mengalir, terlintas
dalam hati aku waktu tu satu analogi mantap daripada al-Imam Syafie (767M- 820M) antara
air yang mengalir dengan mengembara di
dalam syairnya ;
“…Berkelanalah (mengembaralah), engkau akan dapat
pengganti orang yang kamu tinggalkan.
Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada
berpenat-penatan,
Sungguh aku melihat air yang tergenang (bertakung)
dalam diamnya, justeru akan tercemar lalu membusuk.
Jika sahaja air tersebut itu mengalir, tentu, tentu ia
akan terasa lazat dan menyegarkan. Tidak akan sedemikian, jika ia tidak
bergerak mengalir….”
Imam Syafie menggambarkan kepada kita bahawa dengan
mengembara mampu menjernihkan pemikiran kita, membuka sarwa pandang kita
terhadap pelbagai aspek sama ada aspek sosial, budaya, politik, ekonomi dan
agama. Hebat kalam al Imam.
Namun, perjalananku dan Abg Hafiz tergendala dek hujan
yang turun lebat dalam lingkungan jam 5.30 petang lebih. Kami gunakan ruang
waktu yang ada sebagai ruang mengisi jiwa dengan al-Mathurat (kumpulan doa
ma’thur daripada Rasulullah yang dikumpulkan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna).
Inilah sumber kekuatan individu yang bergelar petugas harakiy. Suasana hujan
yang sejuk ini, memujuk si perut untuk memainkan lagu keroncong, lalu kami
bergegas ke gerai berhampiran sambil memesan kopi tarik. Disini, perbualan kami
lebih kepada perbualan bersifat peribadi, membuat ukhwah yang dijalinkan atas
ikatan aqidah itu kian rapat dari masa ke masa. InshaAllah, semoga kembara ini
dapat menuntun kami memaknai maksud ayat al-Quran dari surah al Mukminun yang
berbunyi : Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara….
KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL | BAB 2 :
Tepat jam 7.30 malam, kami tiba di Masjid Sultan
Hisyamuddin Hulu Langat, kami berniat iktikaf disini untuk satu malam. Selepas
maghrib, hikmah daripada kami menghadiri masjid ini, Allah menghantar hambanya
untuk menegur kami tentang aqidah yang semakin menjadi topik kebelakang dalam
perbualan kami. Apa yang diperkatakan oleh penceramah cukup menjentik hati kami
yang langsung leka daripada memikirkan batu asas penting bagi insan yang
mengaku dirinya sebagai muslim, iaitu aqidah. Antara intipati yang dikupas di
dalam ceramah ini, dinukilkan oleh penceramah kata-kata daripada Syed Qutb
melalui bukunya Ma’alim fi at-Thoriq ; “punca kerosakan dikalangan masyarakat
adalah disebabkan oleh kerosakan aqidah.” Turut dinukilkan kalam daripada
as-Syahid Imam Hassan al-Banna; “Ibadah hati itu lebih banyak daripada ibadah
fizikal.” Dalam konteks gerakan dakwah, seorang petugas harakiy itu perlu meletak
aqidah sebagai elemen terpenting dalam dirinya, meletakkan sesuatu perkara yang
dilakukan tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Baru seorang
petugas harakiy itu akan kekal kompeten dalam gerak kerjanya. Semoga ceramah
ini dapat mengisi jiwa kami yang kurang terisi dengan ilmu-ilmu yang
bermanfaat.InshaAllah. Seusai kami menikmati bubur yang disediakan untuk
makmum-makmum yang hadir ke masjid selepas Isyak berjemaah, kami meluangkan
masa berdua untuk metadabbur 5 ayat pilihan al-Qur’an iaitu surah al-Kahfi ayat
13, surah al-Muzzammil ayat 1-6, surah at-Taubah ayat 41 dan surah as-Saff ayat
3 serta menghafal ayat dan terjemahannya.
Antara perbincangan yang boleh dikongsikan bersama :
Manifestasi daripada surah al-Muzzammil ;
1. Surah ini menyarankan kepada sekalian
manusia untuk bangun malam bagi menunaikan solat sunat.
2. Bangun malam adalah
sebagai pengisian jiwa yang kosong.
3. Ruang masa yang sangat kondusif untuk
mengingat Allah.
4. Ibadah bangun malam ini susah tetapi akan menjadi mudah
jika kita ada sahabat yang saling mengingatkan.
Manifestasi daripada surah at-Taubah ayat 41 :
1. Semakin tinggi hierarki, semakin tinggi
jihadnya.
2. Jihad dan taklifan perlu berjalan seiringan.
3. Dalam konteks
sekarang, jihad kita bukan lagi berperang tetapi kita berperang dengan diri
kita sendiri dan ghuzwatul fikr (Peperangan Ideologi) untuk membentuk diri.
Manifestasi daripada surah as-Saff ayat 4 :
1. Makna ‘Saff’ disini adalah organisasi yang
tersusun atur, diposisikan peranan pada setiap individu dan tidak dinamakan
teratur bilamana tiadanya implementasi.
2. Individu vs berjemaah : Sebagai
contoh : Mat Lutfi seorang vlogger dakwah yang terkenal, perjuangan dakwahnya
betul dan tidak dinafikan keberkesanannya. Namun, cuba kita bayangkan,
sekiranya Mat Lutfi ini tadi meninggal dunia, siapa akan meneruskan ideologi
dakwahnya? Ini beza bergerak secara berjemaah dan secara individu. Dengan
berjemaah, kita dapat wujudkan satu komposisi diantara semua kepakaran yang
terdapat dalam diri setiap indvidu Jemaah itu, dimana boleh dapatkan ilmu ini?
didalam USRAH.
Selesai sahaja kami mentadabbur ayat-ayat tersebut
berdasarkan konteks semasa (waqi’), kami menghafal ayat-ayat tersebut untuk
menjadi pegangan bersama. Semoga ayat-ayat ini kekal dalam ingatan kami.
InshaAllah.
KEMBARA SPIRITUAL 16 APRIL | BAB 3 :
Alhamdulilah, alhamdulilah, dengan izin Allah, kami
dapat bangun ‘Qiamullail’, sesuatu yang paling diimpikan buat insan yang
bergelar petugas harakiy. Kami menunaikan solat sunat Tahajjud, Solat sunat
taubat, Hajat, dan witir. Semoga amalan ini diterima disisi Allah. Bagi kami,
ia satu kejayaan buat diri kami yang mungkin telah mengabaikan solat-solat ini.
Jam menunjukkan 5.00 pagi, kereta kami meluncur laju
menuju ke Broga Hill. Tanpa waze, tanpa sebarang panduan, hanya menyerahkan
sepenuh kebergantungan kepada ‘signboard’ dijalan. Adakala signboard ini ada,
adakala hilang tiba-tiba. Dikelilingi hutan yang gelap, tanpa terdapat sebarang
rumah dikiri kanan jalan. Cukup membuatkan kami menyerahkan sepenuh
perlindungan kepada yang Maha Melindungi dan terus berharap agar selamat
sampai. Kami tak pasti apa yang akan berlaku pada kami dihadapan nanti.
Masa terus berlalu, mata masih terus mencari dan
mencari dimana sepatutnya hala tuju kami, yang berlegar di fikiran kami, betul
ke jalan kami ni. Akhirnya, jalan yang kami lalu tadi membawa kami betul-betul
dihadapan masjid di Semenyih. Tepat waktu yang kami sampai, Jemaah masjid masih
lagi mendirikan solat. Kami terus bersolat. Seusai berjemaah subuh, tiada lain
dalam fikiran ini, hanya perasaan ‘excited’ hendak mendaki.
Segalanya sudah dipersiapkan, hanya tinggal si jasad
untuk memulakan pendakian. Mendaki dan terus mendaki. Ada budak kecil, ada
orang dewasa, ada Cina, ada India, ada Melayu. Semuanya mempunyai matlamat dan
niat yang sama. Hanya untuk sampai ke PUNCAK! Bukan mudah yang disangka mendaki
ini, dengan jalan tidak rata, tanahnya yang licin, berlubang sana, berlubang
sini, kiri kanan curam, batu-batu yang menyukarkan lagi dakian. Namun, dengan
tekad yang kuat, buat kami terus mara selangkah demi selangkah tanpa peduli
kesusahan yang ada. Bila dinilai semula, aku melihat Bukit ini seolah-olah kehidupan,
‘track’ yang kami lalui ini diibaratkan seperti ujian dan cabaran. Dan, puncak
adalah cita-cita yang diimpikan. Cita-cita tidak akan tercapai sekiranya kita
tidak meletakkan satu bulat tekad atau azam yang kuat. Ada azam, benteng apa
pun sanggup diredah untuk dapatkan apa yang diimpikan.
Diatas tulah, kami ‘selfie’, kami bergambar, untuk
dijadikan memori terindah buat persahabatan kami. uhuhu….. Dan kami habiskan
perjalanan kami ini disini....
Bukan niat untuk bangga, bukan pula untuk mendabik
dada, hanya sebagai perkongsian bersama… Jumpa di Kembara Spiritual siri II…..
yihaa..!!